Lelaki OKU mati lemas selepas hanyut di Air Terjun Berkelah

Lelaki OKU mati lemas selepas hanyut di Air Terjun Berkelah

KUANTAN – Kegembiraan mandi manda di air terjun bertukar tragedi apabila seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut dihanyut arus deras di Air Terjun Berkelah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Harun Mahmud, 20, dari Kampung Baru Gambang itu ditemui di dasar sungai pada kedalaman tujuh meter kira-kira sejam 30 minit kemudian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu, pihaknya menerima satu panggilan kecemasan menerusi MERS 999 memaklumkan kejadian tersebut pada jam 11.51 tengah hari tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama tujuh orang rakannya menaiki lima buah motosikal pergi ke Sungai Berkelah untuk mandi pada 11.20 pagi dan memilih bahagian hilir Air Terjun Berkelah iaitu kawasan lubuk yang agak luas.

“Bagaimanapun, 10 minit kemudian, mangsa bersama dua orang lagi rakan berusia 14 tahun dan 15 tahun telah pergi ke kawasan yang lebih dalam,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

Jelas Wan Mohd Zahari, arus deras mengakibatkan ketiga-tiga mereka hanyut.

Namun dua orang rakan mangsa yang dalam keadaan hampir lemas sempat berpaut pada dahan kayu di tebing sungai manakala mangsa didapati hilang.

Beliau berkata, rakan-rakan mangsa yang lain tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan kejadian berlaku sangat pantas dengan keadaan air yang sangat dalam.

Mangsa ditemui pukul 12.54 tengah hari oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan disahkan telah meninggal dunia oleh Pegawai Penolong Perubatan yang berada di lokasi dan jasadnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dua lagi rakan mangsa yang nyaris lemas telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut seterusnya operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pukul  1.30 petang selepas mangsa ditemui.

“Siasatan mendapati tiada sebarang papan tanda amaran atau peringatan diletakkan di kawasan terbabit,” tambahnya. – MalaysiaGazette