Lelaki Orang Asli cedera diserang gajah liar

Lelaki Orang Asli cedera diserang gajah liar

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang gajah liar di Kampung Orang Asli Perjek, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap, Sungai Siput (U), di sini semalam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 10 malam sebelum sepasukan kakitangan Perhilitan Sungai Siput dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya, berdasarkan temubual dengan penduduk, kejadian itu berlaku pada pukul 9 malam ketika mangsa bersama beberapa yang lain cuba menghalau sekumpulan empat ekor gajah liar yang menceroboh kawasan penempatan berkenaan.

“Siasatan mendapati haiwan liar itu memasuki kawasan belakang rumah penduduk dan memakan tanaman ubi kayu serta pisang.

“Mangsa berusia 48 tahun bersama beberapa orang penduduk kampung cuba menghalau kumpulan gajah tersebut, namun mangsa yang berada pada jarak terlalu hampir dengan kumpulan gajah itu telah diserang oleh seekor gajah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Perhilitan, penduduk kampung berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya keluar dari lokasi sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Sungai Siput pada pukul 10.30 malam.

Katanya, serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan, pendarahan dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Dalam pada itu Perhilitan memaklumkan pemantauan menggunakan dron mendapati kumpulan gajah terbabit telah beredar dari kawasan kampung.

Katanya, Perhilitan akan terus memantau pergerakan kumpulan gajah berkenaan dan mengambil tindakan pengurusan yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia dan hidupan liar.

“Selain itu, pihak jabatan akan membantu waris mangsa mendapatkan bantuan menerusi inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk menghalau hidupan liar, khususnya gajah, kerana tindakan sedemikian boleh mengundang risiko kepada keselamatan.

“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my.,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top