am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Seorang pemandu lori direman tujuh hari bagi membantu siasatan susulan tindakan berbahaya memandu melawan arus sejauh 150 kilometer (km) dari Plaza Tol Bukit Beruntung ke Plaza Tol Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin ketika dihubungi berkata, suspek berusia 40 tahun direman bermula hari ini sehingga 7 Disember ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap polis tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi untuk proses reman.
Semalam, media melaporkan suspek yang memandu lori Mitsubishi Fuso itu enggan berhenti ketika cuba diminta memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan.
Ibrahim berkata, pemandu lori itu juga cuba melanggar kenderaan peronda polis di kawasan berhampiran Plasa Tol Bukit Beruntung.
Suspek yang mempunyai dua rekod lampau dadah dan satu jenayah, selain ujian air kencingnya positif syabu kemudian ditahan di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




