suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) secara melawan arus menyebabkan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan lain di Jalan Dato Abu Bakar 16/1, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 1.15 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam lebih kurang 11.28 pagi apabila sebuah SUV jenis Honda CRV berwarna merah yang dipandu secara melawan arus sebelum terbabit kemalangan dengan beberapa buah motokar yang melalui jalan berkenaan.
“Kesemua pemandu kenderaan yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, pemandu Honda CRV iaitu seorang lelaki warga Malaysia ditangkap untuk pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Shamsudin berkata, polis ingin mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi kepada pengguna jalanraya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya.
Katanya, sesiapa yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Mohammad Najib Mohd Azaman di 012-3526147 atau IPD Petaling Jaya di 03-79662222.
Terdahulu tular di media sosial, sebuah SUV berwarna merah dilaporkan memandu melawan arus sebelum terbabit kemalangan dengan beberapa kenderaan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




