Lelaki parah, kereta dicuci terjunam dari tingkat 3

Lelaki parah, kereta dicuci terjunam dari tingkat 3

PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai cuci kenderaan parah selepas kereta pelanggan yang dipandunya melanggar tembok dan terjunam dari tingkat tiga kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Klang Lama dekat sini semalam.

Lelaki warga Afghanistan berusia 23 tahun itu dipercayai mahu mengalihkan kereta Toyota Camry berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, polis menerima laporan kejadian pada pukul 5.38 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dipercayai tersilap menekan pedal minyak semasa mahu meletakkan kenderaan milik pelanggan sebaik selesai dicuci.

“Akibatnya kenderaan itu melanggar pagar besi dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap dua kereta lain iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bangunan berkenaan.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemilik kereta berkenaan tiada di dalam kenderaan mereka ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN

Scroll to Top