Lelaki parah terjatuh dari pokok di Gunung Berembun

am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki cedera di kepala dan patah kaki akibat terjatuh dari pokok ketika mengambil buah-buahan di Gunung Berembun, di sini, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.49 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampangan bergegas ke lokasi sebelum tiba jam 3.03 petang.

“Difahamkan mangsa berada sejauh lima kilometer (km) dari Pos Pendaftaran Perhutanan. Maklumat awal daripada pemanggil memaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki berumur 45 tahun cedera di bahagian kepala dan tidak dapat meneruskan perjalanan ke kaki bukit.

“Mangsa dikatakan berada di berhampiran lata Gunung Berembun. Komander operasi memulakan pendakian bagi operasi SAR mangsa dengan bantuan bersama orang awam (pemanggil) pada jam 3.05 petang tadi.

“Namun bantuan tambahan Pasukan Khas Unit STORM diperlukan berikutan mangsa cedera parah disebabkan terjatuh dari pokok.

“Pada jam 4.40 petang, mangsa yang cedera di bahagian kepala, bahu kanan dan patah di kaki kiri diberikan rawatan awal sebelum dibawa turun ke kaki bukit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top