am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Pemilik sangkar ikan dipercayai pitam dan jatuh ke dalam sangkar ikan miliknya di Sungai Tali Air KADA, Kampung Padang Lati, di sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II, Azrul Yusri Che Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada 6.27 petang dan bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, mangsa Mohd Sufian Mohamed, 55, sudah diselamatkan orang awam dan menurut saksi, mangsa didakwa pitam sebelum terjatuh ke dalam sangkar ikan berkenaan.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha orang awam menyelamatkan mangsa difahamkan mengambil masa kerana kesukaran untuk masuk ke kawasan sangkar.
Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati sekiranya mahu memberi bantuan awal sebelum agensi keselamatan tiba.
© New Straits Times Press (M) Bhd




