Lelaki Rohingya cabul gadis OKU dijel 5 tahun, 2 sebatan

Lelaki Rohingya cabul gadis OKU dijel 5 tahun, 2 sebatan

am@hmetro.com.my

Muar: Lelaki etnik Rohingya dipenjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis Orang Kurang Upaya (OKU) di kedai runcit di Batu Pahat, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Ali Monjur Ahammed, 23, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 17 tahun lapan bulan di sebuah kedai runcit di Jalan Engan, Batu Pahat, jam 6.35 pagi, 3 Julai lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada ibu mangsa selepas mendapati remaja itu menangis ketika pulang dari kedai runcit tempat tertuduh bekerja.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa ke kedai terbabit untuk mengambil bekalan barangan runcit dan tertuduh mengajaknya ke tandas.

Namun mangsa enggan menuruti arahan tertuduh sebelum beredar meninggalkan premis itu.

Tertuduh bertindak mengejar mangsa lalu memeluknya menyebabkan remaja itu menangis kerana ketakutan.

Daripada siasatan polis, tertuduh sebelum ini pernah mengajak mangsa berkahwin namun gadis itu menolak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain penjara dan denda, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top