Lelaki rugi lebih RM300,000 ditipu pelaburan saham Hong Kong

Lelaki rugi lebih RM300,000 ditipu pelaburan saham Hong Kong

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Impian seorang lelaki meraih keuntungan berlipat ganda tidak kesampaian apabila kerugian lebih RM300,000 akibat tertipu dengan pelaburan saham antarabangsa yang tidak wujud.

Mangsa berusia 57 tahun pada awal Januari lalu memaklumkan dia menerima mesej daripada individu menerusi WhatsApp yang mana menawarkan pelaburan saham Hong Kong.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa tertarik dan menyatakan minat menyertai pelaburan itu selepas ditawarkan pulangan keuntungan tinggi.

Beliau berkata, mangsa seterusnya berhubung dengan suspek bagi mendapatkan penerangan lanjut berkenaan pelaburan ditawarkan kepadanya.

“Pada 19 Februari sehinggalah 18 Mac lalu, mangsa melakukan pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berlainan secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM330,400.

“Mangsa kemudiannya dijanjikan akan menerima pulangan serta keuntungan lebih tinggi sekiranya membuat pembayaran seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dia ditipu suspek selepas gagal memperoleh pulangan seperti mana dijanjikan sebelum bertindak membuat laporan polis.

Shahrulanuar berkata, susulan itu polis menjalankan siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top