Lelaki rugi setengah juta kerana keahlian gim 300 tahun

Lelaki rugi setengah juta kerana keahlian gim 300 tahun

Hangzhou, China: Seorang lelaki di timur China menyaman sebuah gimnasium selepas membelanjakan lebih 870,000 yuan (kira-kira RM512,000) untuk pakej keahlian yang sah selama 300 tahun, lapor South China Morning Post (SCMP).

Tindakan itu diambil selepas lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Jin mendapati pihak pengurusan gimnasium berkenaan melarikan diri bersama wangnya.

Jin turut meminta bantuan sebuah stesen televisyen untuk mendedahkan kegiatan Gimnasium Ranyan di Hangzhou, wilayah Zhejiang.

Jin yang menjadi ahli Gimnasium Ranyan selama tiga tahun menunjukkan 26 kontrak yang ditandatanganinya antara 10 Mei hingga 9 Julai lalu.

Secara keseluruhan, dia membeli kira-kira 1,200 sesi latihan dan kad keahlian dengan tempoh sah terkumpul selama 300 tahun.

Menurut Jin, dia terpedaya selepas seorang eksekutif jualan menawarkannya satu promosi pada 9 Mei yang menjanjikan keuntungan daripada penjualan semula kad keahlian.

Skim itu menyatakan pelanggan boleh membeli kad keahlian setahun berharga 8,888 yuan (kira-kira RM5,226) dan gimnasium akan menjualnya semula kepada pelanggan baharu pada harga 16,666 yuan (kira-kira RM9,800).

Pelanggan dijanjikan akan menerima sebahagian besar keuntungan, manakala pihak gimnasium memberi jaminan akan memulangkan semua wang jika kad itu tidak dapat dijual dalam tempoh dua bulan.

Terpedaya dengan janji pulangan tinggi itu, Jin membuat pembelian pertamanya sebelum terus dipujuk untuk membeli lebih banyak kad dan sesi latihan peribadi termasuk satu transaksi bernilai lebih 300,000 yuan (kira-kira RM176,000).

Bagaimanapun, pada 15 Julai iaitu tarikh dia sepatutnya menerima pulangan wang pokok, Jin tidak menerima sebarang bayaran dan hanya diberi alasan urus niaga masih dalam semakan.

Pada akhir Julai, Jin mendapati pengurusan gimnasium dan semua kakitangan jualannya menghilangkan diri walaupun premis itu masih dibuka dengan hanya beberapa kakitangan pentadbiran.

Lebih malang, semakan semula pada kontrak mendapati tiada sebarang klausa mengenai janji pulangan keuntungan, malah ia menyatakan keahlian tidak boleh dipindah milik.

“Saya akui saya dipukau oleh mereka. Saya menganggap pembelian ini sebagai pelaburan kesihatan dan satu komitmen, bukan untuk benar-benar menggunakannya selama 300 tahun,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top