Lelaki seludup 30 anak buaya, 14 kura-kura bernilai RM1.81 juta

Lelaki seludup 30 anak buaya, 14 kura-kura bernilai RM1.81 juta

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga asing disyaki ahli sindiket penyeludupan haiwan liar dicekup bersama 30 anak buaya dan 14 kura-kura dalam Ops Bersepadu Khazanah (OBK) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tangkapan dijalankan oleh anggota dan pegawai dari Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Khas (WCB/PSK).

“Hasil serbuan berjaya merampas 30 ekor anak buaya Julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis Indian Eyes yang bernilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM1.81 juta.

“Berdasarkan maklumat risikan, suspek dipercayai membawa spesis yang terkawal berkenaan dari sebuah negara di Asia Selatan menggunakan laluan udara masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes sebegini jarang berlaku di Malaysia dan spesis haiwan yang cuba diseludup masuk juga bernilai tinggi di pasaran gelap.

Katanya, suspek lelaki terbabit disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan haiwan liar yang bergiat aktif di peringkat antarabangsa.

“Harga jualan bagi seekor anak buaya Julung-julung kira-kira RM60,000 manakala kura-kura Indian Eyes RM1,350 seekor.

“Hidupan liar terbabit dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit sebelum dipindahkan ke negara lain,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, sebanyak 135 serbuan dijalankan di seluruh negara membabitkan 384 tangkapan berkaitan penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan, barangan bersubsidi dan hidupan liar sejak 1 Januari hingga semalam.

Katanya, nilai rampasan sepanjang tempoh itu dianggarkan mencecah lebih RM420 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top