Lelaki sembunyi di Dannok direman 7 hari

Lelaki sembunyi di Dannok direman 7 hari

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki yang terbabit kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan diberkas polis ketika bersembunyi di Dannok, Thailand, Isnin lalu, kini dalam tahanan reman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun terbabit direman tujuh hari sejak Selasa lalu sehingga Isnin ini.

“Lelaki itu ditangkap pada 14 Oktober lalu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Suspek dikehendaki untuk satu kes pemerasan dan mendatangkan cedera di Klang, Selangor, pada awal bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, cubaan seorang lelaki yang terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand gagal apabila berjaya ditahan Isnin lalu.

Ia hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Thailand yang berjaya mengesan suspek bersembunyi di sebuah hotel.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Unit Risikan Sempadan (URS) Zon Utara menerima maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkaitan suspek terbabit dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top