Lelaki serang kanak-kanak ke pasar malam positif dadah, reman 4 hari

Lelaki serang kanak-kanak ke pasar malam positif dadah, reman 4 hari

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Lelaki yang didakwa menyerang dan memukul kanak-kanak perempuan di Bukit Sentosa di sini, semalam ditahan reman empat hari sehingga 2 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Jika sabit kesalahan, hukuman bagi kesalahan pertama ialah penjara sehingga tiga tahun atau sebatan atau kedua-duanya dan kesalahan kedua hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian membabitkan kanak-kanak berkenaan berusia sembilan tahun yang ditarik lelaki tidak dikenali ketika berjalan bersama kakak dan abangnya untuk ke pasar malam di Jalan Bakawali.

Menurutnya, laporan diterima daripada wanita tempatan kira-kira 8 malam semalam dan susulan kejadian, suspek berusia 23 tahun yang juga penganggur ditahan.

“Individu terbabit dipercayai memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga mengakibatkan kecederaan.

“Polis Hulu Selangor melalui Balai Polis Bukit Sentosa berjaya menahan suspek lelaki tempatan di rumahnya di kawasan Bukit Sentosa,” katanya.

Beliau juga memaklumkan suspek didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius kejadian sebegitu dan percaya penangkapan suspek berjaya menyelesaikan kes di Hulu Selangor, selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top