
Hukuman penjara dijatuhkan kepada pesalah pada Isnin oleh mahkamah Singapura.- Agensi
SINGAPURA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas menghantar daging babi kepada tujuh masjid dan menyertakan nombor telefon seorang wanita dengan tujuan supaya wanita itu diganggu kerana didakwa menjadi punca kontrak kerjanya tidak disambung.
Bill Tan Keng Hwee, 62, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menista agama di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama dan satu pertuduhan gangguan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan.
Lima pertuduhan lain turut diambil kira ketika hukuman dijatuhkan pada Isnin.
Mahkamah diberitahu, Bill Tan bekerja sebagai pegawai sokongan operasi sejak Disember 2024 sebelum dimaklumkan pada 11 September 2025 bahawa kontraknya tidak akan diperbaharui.
Keputusan itu menyebabkan Bill Tan marah dan dia menyangka seorang wanita menjadi punca kontraknya tidak disambung.
Bill Tan kemudian merancang menghantar surat mengandungi hirisan daging babi dan maklumat wanita itu kepada masjid.
Tujuannya adalah supaya pihak masjid menghubungi dan mengganggu wanita berkenaan.
Dia membeli daging babi, kertas dan sampul surat sebelum menyediakan bungkusan berisi nota menghina, nombor telefon wanita itu serta hirisan daging babi.
Pada 15 September 2025, Bill Tan mengepos surat tersebut kepada tujuh masjid yang dipilih secara rawak.
Empat hari kemudian, kakitangan masjid yang menerima bungkusan itu menemui daging babi di dalam surat lalu menghubungi polis.
Seorang kakitangan masjid turut menghubungi wanita terbabit dan memaklumkan mengenai bungkusan itu sebelum laporan polis dibuat.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara antara 15 hingga 18 bulan dengan menegaskan kesalahan membabitkan sentimen agama boleh mengancam keharmonian masyarakat.
Hakim Daerah Sharmila Sripathy-Shanaz berkata, keharmonian agama dan kaum merupakan asas penting ketenteraman awam serta perpaduan negara.
Beliau menyifatkan tindakan Bill Tan sebagai terancang, amat menghina dan berpotensi mencetuskan ketegangan agama.
Menurut hakim, walaupun tujuan utama Bill Tan adalah membalas dendam terhadap wanita tersebut, dia tetap dianggap menggugat perasaan seluruh komuniti Islam.
Mahkamah menegaskan perbuatan yang boleh menyemarakkan ketegangan agama, menimbulkan perpecahan dan menggugat keamanan awam perlu dikenakan hukuman tegas.- Agensi


