am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini susulan laporan dibuat adik iparnya yang juga ibu tunggal kerana didakwa menjadi mangsa persetubuhan luar tabii serta cabul.
Tertuduh berusia 59 tahun berdepan lima pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada empat anak didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap adik ipar berusia 54 tahun di sebuah rumah dalam daerah ini, 4 pagi, 31 Januari lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh berhadapan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibenarkan ikat jamin RM6,000 berserta syarat tambahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa kerap diganggu tertuduh memasuki rumah melalui pintu belakang setiap jam 12 tengah malam.
Mangsa beberapa kali memberi amaran namun tertuduh tidak mengendahkanya yang kemudian bertindak membuat laporan polis.
Prosiding di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Hafizul Kafly.
Terdahulu pihak pendakwa raya tidak menawarkan ikat jamin dengan alasan hubungan keluarga antara tertuduh dengan mangsa terlalu dekat, selain kedudukan rumah dengan tertuduh.
“Ini boleh mendedahkan tertuduh untuk berinteraksi dengan mangsa sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin,” katanya.
Kedua-dua mahkamah membenarkan ikat jamin RM21,000 bagi kesemua pertuduhan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran, tidak boleh mengganggu mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes disebut semula 3 April ini untuk serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




