Lelaki tampar remaja ketika beli roti sudah ditahan

Lelaki tampar remaja ketika beli roti sudah ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan lelaki yang menampar pelajar tingkatan satu dalam satu insiden di premis makanan di Stesen LRT Pasar Seni, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, penganggur berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan polis di tepi Jalan Masjid India pada 3.40 petang, hari ini.

“Hasil siasatan dan soal siasat mendapati, suspek mengaku menampar muka mangsa sehingga jatuh kerana mendakwa marah apabila remaja terbabit didakwa mengorek hidung di sebelahnya ketika sedang menunggu giliran.

“Susulan penahanan itu, polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, iaitu sehelai kemeja berwarna putih dan seluar panjang hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 506 akta yang sama (ugutan jenayah), serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 berikutan penularan insiden berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan remaja lelaki berusia 13 tahun cedera ditampar lelaki yang tidak dikenali secara tiba-tiba.

Farhan Nasir Muhammad Isa berkata, dia ke premis berkenaan bagi membeli roti dan terus ke kaunter selepas melihat tiada orang beratur, namun tiba-tiba ditampar lelaki terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top