
Suspek kini sudah ditahan pihak berkuasa.-Agensi
MEDAN – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki menyebabkan kematian rakannya dalam kejadian di Jalan KL Yos Sudarso, Medan Belawan, Indonesia pada 27 April 2026 kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan.
Ketua Polis Pelabuhan Belawan, AKP Agus Purnomo berkata, mangsa yang dikenali sebagai MFR dipercayai menjadi sasaran suspek selepas berlaku insiden ketika mereka bermain futsal beberapa hari sebelum kejadian.
Menurut beliau, suspek yang dikenali sebagai MS mendakwa kakinya telah ditendang kuat oleh mangsa ketika bermain futsal, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati.
“Akibat perasaan dendam itu, suspek bertindak mengejar mangsa sebelum menendang motosikal yang ditunggang sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya.
Beliau berkata, mangsa bersama rakannya ketika itu sedang menunggang motosikal dari arah Pajak Baru sebelum dipintas suspek dan ditendang secara tiba-tiba.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terhentak ke permukaan keras,” katanya.
Mangsa dilaporkan dikejarkan ke Hospital PHC Belawan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius.
Polis turut memaklumkan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta keterangan saksi membantu siasatan sebelum suspek berjaya diberkas di kawasan Kampung Nelayan Seberang pada malam kejadian.
MS kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang jenayah berat.-Agensi


