Lelaki Thailand tular jual rantai kunci nyamuk mati

Lelaki Thailand tular jual rantai kunci nyamuk mati
Lelaki Thailand tular jual rantai kunci nyamuk mati

Nyamuk mati yang dijadikan rantai kunci.

BANGKOK – Seorang pengguna TikTok dari Thailand mencuri perhatian warga maya selepas berkongsi bahawa dia mampu menjana pendapatan melebihi 10,000 baht sebulan (RM1,400) dengan menghasilkan dan menjual rantai kunci unik yang diperbuat daripada nyamuk mati.

Individu yang dikenali sebagai Lee itu memuat naik kisah perniagaannya menerusi akaun TikTok miliknya, @leesaeslip.

Dalam kapsyen video berkenaan, Lee menulis, “Nama saya Lee. Saya memperoleh sepuluh ribu baht dengan membunuh nyamuk.”

Menurut Lee, minatnya terhadap nyamuk bermula sejak sekian lama apabila dia gemar mengumpul serangga tersebut selepas membunuhnya, pada awalnya hanya untuk tujuan pemerhatian.

Namun, idea kreatif muncul apabila dia mula menjadikan nyamuk tersebut sebagai rantai kunci dengan latar belakang bercahaya dalam gelap, sekadar untuk suka-suka.

Tidak disangka, hasil ciptaan tersebut mendapat perhatian rakan dan ahli keluarga, sekali gus mendorong Lee untuk menjadikannya sebagai produk dalam perniagaan barangan kraftangan miliknya.

Produk itu kemudiannya mendapat sambutan, terutamanya daripada pelanggan luar negara yang melihatnya sebagai cenderamata unik yang melambangkan nyamuk dari Thailand.

Permintaan yang semakin meningkat menyebabkan Lee menggunakan perangkap nyamuk bagi mendapatkan bekalan serangga tersebut.

Bagaimanapun, dia mengakui bekalan masih tidak mencukupi untuk memenuhi tempahan.

Dalam satu hantaran terbaru, Lee turut mencari pembekal nyamuk mati dengan menawarkan bayaran untuk usaha mengumpul dan memeliharanya.

Dia juga berkongsi kaedah membunuh dan menyimpan nyamuk dengan sempurna agar tidak dimakan semut.

Sejurus selepas itu, Lee memaklumkan bahawa seorang pemilik perangkap nyamuk bersetuju untuk membekalkan nyamuk mati secara percuma selain turut membuat tempahan rantai kunci daripadanya.

Video-video Lee menjadi tular di media sosial Thailand, dengan salah satu klip mengenai rantai kunci nyamuk itu meraih lebih 350,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen.

Scroll to Top