nfazlina@nstp.com.my
Tanah Merah: Taktik licik lelaki Thailand cuba menyeludup petrol menggunakan kenderaan yang diubah suai di bahagian tangki minyak tidak kesampaian apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), hari ini.
Suspek berusia 20-an ditahan jam 9.10 pagi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Bunga.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata suspek ditahan semasa operasi statik di laluan keluar ICQS Tanah Merah.
“Pasukan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan yang dipandu suspek mendapati tangki minyaknya sudah diubah suai bagi menampung kuantiti petrol yang melebihi kapasiti asal.
“Anggaran petrol yang dibawa dalam tangki ubah suai adalah sebanyak 80 liter, dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
“Jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM5,328 termasuk petrol dan kereta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana memiliki barang kawalan berjadual secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, KPDN mengingatkan orang ramai bahawa sebarang kegiatan penyelewengan atau penyeludupan barang bersubsidi akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd