Lelaki tular pukul pemandu lori sampah dicekup

Lelaki tular pukul pemandu lori sampah dicekup

SABAK BERNAM: Seorang lelaki yang tular memukul dan mencederakan pemandu lori sampah di Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar di sini, berjaya diberkas polis semalam.

Suspek berusia lewat 50-an itu ditahan si sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya turut merampas kayu yang digunakan ketika kejadian, pengunci stereng dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Namun, semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes ugutan jenayah dan mencederakan orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kejadian tular tersebut dan direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Seorang pemandu lori sampah dilaporkan cedera dipukul lelaki yang berang selepas dihon supaya mengalihkan kenderaannya yang menghalang laluan di Jalan Panchang Bedena kelmarin.

Kejadian yang tular dalam media sosial itu berlaku pada pukul 9.30 pagi mengakibatkan mangsa yang juga lelaki berusia 37 tahun cedera di tangan selepas dipercayai dipukul dengan kayu dan turut diugut suspek.

Siasatan awal mendapati pengadu sedang memandu lori untuk mengutip sampah di sekitar Panchang Bedena dan laluannya dihalang kenderaan suspek.

Mangsa kemudian membunyikan hon bagi meminta supaya mengalihkan kenderaan namun suspek datang mengugut dan memukulnya dengan sebatang kayu.

Lelaki itu mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah di sini, dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, syarikat KDEB Waste Management (KDEBWM) mengesahkan pemandunya diserang dalam kejadian tersebut, namun menyerahkan kepada polis untuk menyiasatnya.

Bagaimanapun, syarikat itu menyeru orang ramai supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada KDEBWM terutama berkaitan laluan kenderaan lori kompaktor agar dapat menjalankan operasi kutipan sisa dengan lancar mengikut jadual. – UTUSAN