harisfadli@hmetro.com.my
Sepang: Lelaki yang disyaki membuat ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kelmarin dikatakan bertindak demikian supaya beg miliknya tidak diganggu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shariat berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.
“Suspek direman tiga hari bermula semalam sehingga esok, namun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Siasatan mendapati tiada motif jenayah berhubung kejadian. Suspek dipercayai menulis catatan berkenaan supaya beg tidak diganggu rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang individu yang membuat ancaman bom palsu membabitkan sebuah penerbangan domestik di KLIA Terminal 1, ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Malaysia Airports dilapor berkata, insiden itu dikesan pada 5.32 petang kelmarin, beberapa minit sebelum pesawat dijadual berlepas, sekali gus menyebabkan pasukan keselamatan penerbangan mengaktifkan protokol kecemasan dan memastikan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
Pesawat berkenaan kemudian dibenarkan berlepas dengan baki penumpang pada 7.19 malam, selepas pihak Keselamatan Penerbangan bersama PDRM dan unit pemusnah bom menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi.
Pemeriksaan berakhir pada 8.58 malam apabila pihak berkuasa mengesahkan situasi selamat dan ancaman yang diterima adalah palsu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




