am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Lelaki yang ditahan polis kerana memarahi jiran dengan mengacukan pistol dalam pergaduhan di kawasan rumah mereka di Bandar Laguna Merbok, di sini, semalam direman tujuh hari untuk bantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan perkara itu dan suspek direman bermula hari ini sehingga 14 Disember ini untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah ketamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki yang bertindak memarahi jirannya dengan mengacukan senjata api ketika berlaku pergaduhan di kawasan rumah mereka di Bandar Laguna Merbok, ditahan polis.
Polis menerima panggilan daripada seorang wanita warga emas pada 8.45 pagi hari kejadian yang memaklumkan dia diugut seorang lelaki bersenjatakan pistol.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda terus ke lokasi dan menahan suspek.
Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




