mdroji@bh.com.my
Kuching: Lelaki warga emas maut, manakala empat lagi selamat selepas kenderaan yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung di Batu 24, Jalan Musah Kajah di Song dalam bahagian Kapit, malam tadi.
Mangsa, Berain Sinau, 80, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap kenderaan yang terbalik.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song diarah ke tempat kejadian menggunakan dua pikap melalui jalan balak, dan tiba pada 9.23 malam di lokasi yang terletak 46 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah pikap Mitsubishi Triton terbabas dan terjunam jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
“Seorang mangsa dihempap kenderaan itu disahkan meninggal dunia, seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan dan dihantar oleh orang awam ke Hospital Kanowit, manakala tiga lagi lelaki berusia antara 44 hingga 61 tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, bomba dan polis terpaksa meminta bantuan jentolak syarikat pembalakan berdekatan tempat kejadian bagi membuka laluan untuk menarik kenderaan itu ke tempat selamat.
“Selepas berjaya dikeluarkan dan dibawa naik ke jalan raya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya lagi, kejadian selepas kenderaan itu yang dipandu lelaki berusia 50 tahun hilang kawalan ketika melalui kawasan berbukit.
© New Straits Times Press (M) Bhd