
Seorang lelaki warganegara Malaysia ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik hotel di Betong, wilayah Yala pada Isnin. Gambar hiasan
YALA – Seorang lelaki warganegara Malaysia ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik hotel di Betong, wilayah Yala pada Isnin.
Ketua Polis Siasatan Balai Polis Betong, Mej. Kol. Pol. Jakkarin Laksana berkata, lelaki berusia 67 tahun itu berasal dari Negeri Sembilan dan dipercayai sedang bercuti di Betong.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tersungkur oleh petugas hotel pada pagi Isnin.
Polis bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada petugas hotel sekitar jam 8.30 pagi Isnin, katanya.
“Sebaik tiba, kami menemukan mangsa dalam keadaan tersungkur di tepi katil.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya akibat serangan jantung,ā katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Jakkarin berkata, anak lelaki mangsa tiba di Hospital Betong pagi tadi bagi tujuan pengecaman dan menuntut jenazah untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Sementara itu, Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang membantu ahli keluarga bagi memudahkan proses membawa pulang jenazah ke tanah air. – Bernama