Lelaki Yaman terlepas tali gantung kerana peguam ‘tak boleh diharap’


Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, peguam yang mewakili perayu ketika perbicaraan ‘terlalu tidak cekap.’

PUTRAJAYA: Seorang warga Yaman hari ini bebas dari tali gantung kerana mengedar 1.8kg methamphetamine di lapangan terbang Tawau, lapan tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan Yahya Hussein Mohsen Abdulrab untuk membatalkan sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi, disebabkan ketidakcekapan peguam yang mewakilinya ketika perbicaraan.

Mahkamah turut mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan tahun lalu supaya kes itu dibicarakan semula.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, peguam yang mewakili Yahya sebelum ini terlalu tidak cekap.

Katanya, keputusan itu berasaskan bukti lanjut yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, yang menunjukkan tahap ketidakcekapan peguam berkenaan.

Bagaimanapun, Tengku Maimun yang bersidang bersama Mohd Zawawi Salleh dan Nallini Pathmanathan berkata, Mahkamah Rayuan silap apabila mengarahkan perbicaraan semula dan bukan terus membebaskan Yahya.

Yahya diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan dan Farhan Muhammad Shafee.

Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid mewakili pendakwaan.

Sementara itu, Farhan memberitahu, Mahkamah Persekutuan menganggap tidak adil untuk mengadakan perbicaraan semula. Ini kerana proses perbicaraan asal sendiri tidak adil, disebabkan berlaku pelanggaran dari segi hak yang dijamin mengikut perlembagaan.

Menurutnya, Yahya telah dipenjarakan lebih lapan tahun, seterusnya panel hakim berpendapat dia akan terus ditahan di penjara sekiranya perlu dibicarakan semula.

Sementara itu, Farhan berkata bukti tambahan yang dibenarkan mahkamah sebelum ini jelas membuktikan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, malah tidak wajar sekalipun untuk mengurangkan tuduhan terhadapnya kepada kesalahan memiliki dadah.

Yahya didakwa melakukan kesalahan itu di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan pada 11 pagi 25 Julai 2013.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya berkata, ketidakcekapan peguam itu mengakibatkan Yahya tidak mendapat perbicaraan yang adil seterusnya berlaku salah laksana keadilan.

Yahya dalam pembelaannya berkata dia diminta membawa beg bimbit oleh seseorang bernama Mickey, susulan itu isu sejauh mana dia mengetahui kandungannya patut dibangkitkan peguamnya di peringkat perbicaraan.