Lelaki yang ditemui rentung dalam kebakaran kerap berhalusinasi

Lelaki yang ditemui rentung dalam kebakaran kerap berhalusinasi

am@hmetro.com.my

Langkawi: Lelaki yang ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Makam Mahsuri, malam tadi tinggal seorang diri dan dikatakan kerap berhalusinasi.

Mangsa ditemukan rentung ketika operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dimaklumkan kejadian kebakaran rumah itu pada jam 7.40 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi tiba di lokasi dan dimaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap.

“Tempat kejadian adalah sebuah rumah batu dan mangsa dilaporkan berada dalam bilik tidur hadapan rumah berkenaan.

“Mangsa ditemukan atas tilam yang terbakar dan terdapat satu lagi tilam yang turut terbakar di atasnya. Bagaimanapun, hanya bilik terbabit sahaja yang terbakar di rumah berkenaan.

“Jiran memaklumkan sekitar jam 6.30 petang semalam, dia keluar dari rumah dan ternampak cahaya api dari tingkap rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khairul Azhar berkata, isteri jiran mangsa menghubungi anak saudaranya untuk meminta bantuan dan ketika sampai di lokasi pada jam 6.50 malam, api sudah marak dalam bilik hadapan.

“Pintu hadapan rumah itu berkunci dan terpaksa dipecahkan dan kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh anak saudara jiran mangsa serta rakan-rakannya sebelum ketibaan bomba.

“Berdasarkan maklumat daripada anak perempuan mangsa, bapanya tinggal seorang diri di rumah itu dan seorang penagih serta sering berhalusinasi.

“Anak mangsa ada datang ke rumah bapanya itu jam 2.30 petang semalam untuk menghantar makanan,” katanya.

Khairul Azhar berkata, anak mangsa kemudian datang semula ke rumah bapanya itu pada jam 5.30 petang semalam dan mendapati pintu rumah berkunci malah bapanya tidak menyahut panggilan selain menyangka mangsa tiada di rumah.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak 2009.

“Pihak forensik bomba akan menjalankan siasatan semula di lokasi hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 53 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Makam Mahsuri, di sini, malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top