bhnews@bh.com.my
PASIR PUTEH: Seorang lelaki melelong beberapa barangan peribadinya, termasuk koleksi duit kertas bersiri unik dan kereta mini bagi menderma kepada tabung Palestin.
Mohd Khairul Azran Mohd Ghazali, 34, berkata setakat ini dia sudah berjaya melelong 15 koleksi peribadi termasuk empat cincin, tiga duit kertas dan lapan kereta mini.
Katanya, jumlah lelongan pula hampir RM1,000 dan kesemuanya akan didermakan kepada tabung #Aid4Palestine.
“Saya buat lelongan selama dua hari menerusi laman sosial Facebook saya dan Alhamdulillah mendapat sambutan serta sokongan baik rakan dan penonton.
“Walaupun kecil sumbangan yang diberikan, inilah jihad kecil saya bagi membantu saudara Muslim di Palestin,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, lelongan dilakukan jam 2.30 petang pada Isnin dan Selasa lalu, selama setengah jam bersiaran.
Azran yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Pembantu Tadbir, berkata dia terpanggil membuat lelongan demi menderma kepada tabung Palestin kerana mahu membantu semampunya, selain mahu menggalakkan orang ramai mengambil peduli peristiwa berdarah yang sedang berlaku di Palestin.
Katanya, lebih mengharukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail turut membeli duit kertas RM1 siri unik WM 8898888 miliknya yang juga pengumpul barangan antik dan unik.
Azran berkata, dia akan meneruskan lagi lelongan pada masa akan datang sekiranya mendapat permintaan.
Katanya, selain lelongan peribadi, Azran yang bekerja di pusat khidmat DUN Selinsing turut aktif menjalankan kutipan derma Palestin di bawah Kelab Kebajikan Ummah Prihatin Selinsing dan menerusi Saga Iswara Club Kelate (CSIK).
© New Straits Times Press (M) Bhd