am@hmetro.com.my
Ipoh: Hampir RM39 juta setahun dikembalikan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada rakyat Perak melalui subsidi, antaranya dalam bentuk air percuma untuk golongan miskin, rumah ibadat, institusi kebajikan selain rebat bagi pengguna domestik.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sekali gus menunjukkan keupayaan kewangan LAP biarpun masih mengekalkan kadar tarif air yang ditetapkan sejak Mei 2024.
Beliau berkata, subsidi dan rebat itu antaranya merangkumi 25 meter padu air percuma untuk golongan miskin, 10 meter padu air percuma untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan serta rebat RM4 bagi 10 meter padu pertama setiap bulan untuk semua pengguna domestik.
“Pelarasan tarif air berlaku di beberapa negeri bermula Ogos 2025, namun Perak mengekalkan kadar yang ditetapkan pada Mei 2024 selepas pelarasan terakhir pada 2006.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keupayaan kewangan LAP. Angka ini melambangkan tekad LAP untuk memastikan keseimbangan antara kelestarian kewangan dan kesejahteraan, suatu amanah yang sentiasa dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.
Saarani yang juga Pengerusi LAP berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Menara Air Perak di Basco Avanue @ Kepayang, di sini, hari ini.
Perasmian menara itu disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Pembinaan menara 14 tingkat yang bermula pada Mac 2016 dengan kos keseluruhan RM92 juta, siap pada Februari 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada 6 Mac 2023.
Ia menampilkan konsep moden, efisien tenaga dan dilengkapi kemudahan termasuk Taska, surau, gimnasium, pejabat serta dewan bankuet berkapasiti 320 orang.
Kata Saarani lagi, menara itu menjadi pusat pentadbiran yang tersusun, pada masa sama menjadi mercu tanda ikonik baharu Perak dengan segala fungsi perancangan, pemantauan dan kawalan operasi disatukan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air negeri.
Menurutnya, kejayaan LAP dizahirkan melalui rekod sebagai pembayar zakat korporat tertinggi di Perak dengan jumlah terkumpul melebihi RM86 juta sejak 2007 sehingga menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2023.
“Kejayaan projek Menara Air Perak ini menjadi simbol komitmen padu dan harapan baharu bagi pusat tadbir urus yang lebih efisien, pemangkin pengurusan air yang mampan dan mercu tanda baharu kebanggaan negeri,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd