Lembaga Ruminan Negara bakal tingkatkan industri ternakan

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Lembaga Ruminan Negara yang akan ditubuhkan serta dijangka beroperasi secara berfasa mulai tahun depan mampu meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penubuhan lembaga itu sudah dipersetujui dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan ia selari dengan hala tuju kementeriannya dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi industri ruminan.

Katanya, pembangunan industri ruminan di negara ini kurang memberangsangkan dengan tahap sara diri (SSL) daging hanya 22 peratus, manakala bagi SSL susu segar juga rendah sekitar 62 peratus

“Industri ternakan ruminan di negara kita pada masa ini juga kebanyakan masih berada pada tahap skala kecil atau sederhana. Pada masa ini, Malaysia amat bergantung kepada pengimportan daging, susu dan produk tenusu bagi memenuhi permintaan dalam negara.

“Bagaimanapun, berdasarkan keperluan semasa, industri ini sangat berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara serta mengurangkan import,” katanya dalam ucapan pada Simposium Ruminan yang diadakan secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, Ronald berkata, terdapat beberapa isu dan cabaran dihadapi oleh pihaknya dalam membangunkan industri ternakan ruminan negara.

“Antaranya ialah isu baka ternakan yang berkualiti dengan produktiviti yang tinggi serta boleh beradaptasi dengan persekitaran tempatan yang mencabar, dengan peningkatan kos operasi terutamanya harga makanan ternakan yang tinggi serta kos buruh asing.

“Selain itu cabaran juga berkaitan dengan isu penyakit rentas sempadan seperti penyakit kuku dan mulut (FMD), penyakit kulit kental/berbonjol (LSD), Brucellosis dan Tuberculosis yang mengancam industri ternakan ruminan negara,” katanya.

Mengulas lanjut Ronald berkata, industri ternakan ruminan menyediakan sumber pendapatan menguntungkan dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM15 bilion pada 2019.

Katanya, ia juga menyediakan sumber pendapatan yang menguntungkan kepada semua pihak yang terbabit di sepanjang rantaian nilai termasuk penternak khususnya menerusi pengeluaran daging, telur, susu dan produk hasilannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd