am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kehadiran lembu dari ‘Pluto’ yang berkeliaran di Jalan Inas-Sungai Sayong, Jalan Mersing dan Jalan Sungai Mas-Lok Heng di sini, bukanlah suatu situasi luar biasa atau perkara baharu namun ia berlaku sejak sekian lama, malah ada juga nyawa pengguna jalan raya yang melayang akibat kemalangan.
Lebih malang, haiwan itu dibiar berkeliaran di laluan utama sehingga mendatangkan keresahan dan kebimbangan dalam masyarakat setempat.
Seorang penduduk, Rashid Atan, 45, berkata haiwan ternakan itu sering kelihatan berkeliaran di beberapa laluan sekitar Mersing dalam kumpulan yang besar hingga membahayakan pengguna jalan raya.
“Setiap kali haiwan itu berkeliaran di jalan raya, pengguna terpaksa memberhentikan kenderaan, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Namun kadang-kala pengguna jalan raya tidak sempat untuk berhenti sehingga merempuh haiwan itu hingga mengakibatkan kerosakan pada kereta, kecederaan hinggalah kehilangan nyawa.
“Contohnya, Jun lalu seorang pelayan kedai makan maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan di hadapan sebuah resort di Jalan Pantai Sepat di sini.
“Ia sesuatu perkara yang perlu dipandang serius,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang penduduk Sungai Sayong, Rashidah Hasbullah, 60, berkata isu bertambah rumit apabila pemilik lembu sukar dikenal pasti yang akhirnya menyukarkan proses tuntutan atau ganti rugi selepas kemalangan berlaku.
Menurutnya, pihak berkaitan perlu mengatasi masalah itu dengan mengenakan tindakan terhadap pemilik haiwan berkenaan.
“Saya berharap tindakan tegas diambil terhadap pemilik lembu yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran atas jalan raya, sehingga menyebabkan trafik terhalang dan membahayakan pengguna terutama ketika hujan.
“Saya sendiri nyaris merempuh kenderaan lain di hadapan yang membrek secara tiba-tiba kerana mengelak lembu yang melintas,” katanya
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya di Jalan Sungai Mas-Lok Heng, S Bernard, 52, berkata dia yakin lembu yang kerap melintas jalan berkenaan milik penternak tempatan.
“Sikap lepas tangan penternak membebaskan lembu peliharaan tanpa kawalan amat mengecewakan.
“Pihak berkuasa tempatan digesa lebih tegas menangani masalah ini dan mengadakan operasi lebih kerap supaya penternak ‘membuka mata’ mengenai kesalahan dilakukan” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd



