am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Usaha seorang pengusaha ladang lembu mempromosi lembu baka American Brahman melalui media sosial ternyata berbaloi apabila dia mampu menjual lebih 40 ekor untuk ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini.
Abdul Hakki Che Ahmad, 40, berkata, lembu spesies berkenaan pada awalnya tidak menjadi pilihan pelanggan namun sejak tiga tahun kebelakangan ini ia semakin mendapat sambutan.
Menurutnya, baka American Brahman adalah spesies lembu bersaiz ‘gergasi’ yang mana harganya lebih mahal berbanding lembu tempatan mencecah RM9,000 sehingga RM12,000 seekor.
“Saya mula menerima tempahan lembu ini untuk tujuan ibadah korban sejak Mac lalu ketika umat Islam menyambut Ramadan.
“Jumlah permintaan semakin bertambah menjelang Aidiladha kerana ramai antara pelanggan yang membeli di saat-saat akhir.
“Alhamdulillah, setakat ini pelanggan sangat berpuas hati dengan lembu American Brahman yang dibeli kerana saya sendiri menitik beratkan kualiti dengan memastikan ternakan dalam keadaan sihat sebelum dijual.
“Ramai antara pelanggan memilih baka berkenaan kerana dagingnya yang banyak dan berbaloi, malah seekor lembu baka American Brahman boleh menghasilkan lebih 300 kilogram (kg) daging,” katanya ketika ditemui di ladang lembu miliknya di Kampung Bukit Tuku di sini.
Dia yang sudah lebih 10 tahun mengembala lembu, mengakui menjual hampir 700 ekor lembu khusus untuk ibadah korban sempena Aidiladha termasuk baka KK (Kedah-Kelantan) dengan harga serendah RM2,700 seekor bergantung kepada saiz lembu.
“Pelanggan yang memilih spesies American Brahman bukan sahaja dari dalam Kelantan malah seluruh negara seperti Johor, Pahang dan Selangor.
“Ada juga pelanggan berasal dari Sabah yang membeli lembu dengan saya dan membuat ibadah korban di sini.
“Bagaimanapun, terdapat juga cabaran untuk menjaga lembu ini kerana berkemungkinan dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD) dan boleh menyebabkan kematian, sekali gus boleh mendatangkan kerugian.
“Saya akan memastikan kesemua lembu ternakan dijaga dengan baik termasuk diberi makanan serta vitamin secukupnya supaya pelanggan berpuas hati,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




