am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Cuaca panas melampau yang berlaku sejak beberapa bulan lalu turut menjejaskan penternakan lembu selain menjadi punca kenaikan kos menternak haiwan itu.
Difahamkan haiwan ternakan itu memerlukan sumber makanan dan minuman mencukupi bagi mengelakkan ia kekurangan zat seterusnya mati ketika musim panas melanda.
Penternak, Mohd Hanif Hussin, 31, yang menternak 10 lembu termasuk jenis kacukan mendakwa berdepan situasi kritikal berikutan rumput menjadi kering menyebabkan dia perlu melebihkan makanan dedak sebagai ganti.
Mohd Hanif berkata, kos pembelian dedak untuk semua lembunya meningkat kepada RM850 berbanding hanyalah RM600 sebelum ini.
“Saya ada menanam rumput dengan keluasan 0.61 hektar. Namun cuaca panas melampau menyebabkan rumput menjadi kering walaupun sudah disiram air.
“Disebabkan itu, saya perlu melebihkan makanan dedak untuk 10 lembu peliharaan sekaligus menjadikan kos semakin meningkat. Ia adalah persediaan bagi permintaan ibadah korban ketika Hari Raya Aidiladha kelak,” katanya ketika ditemui di kandang di Kampung Kubang Edang, Peringat, di sini, semalam.
Mohd Hanif berkata, lembunya kerap dimandikan bagi menyejukkan tubuh.
Dia yang turut menternak pelbagai haiwan lain antaranya ayam, serati dan kambing memberitahu, cuaca panas yang melanda turut menyebabkan ternakannya mati kerana panas dan kurang zat.
“Biasanya ayam dan serati (mati) walaupun sudah diberikan makanan serta minuman mencukupi. Haiwan itu tidak tahan panas dan akan cepat lemah seterusnya mati,” katanya.
Seorang lagi penternak, Ariffin Mat, 69, berkata, harga ditawarkan untuk lembu korban sebelum ini adalah sekitar RM700 hingga RM850 untuk satu bahagian.
“Namun ada kemungkinan ia akan meningkat menjelang Aidiladha disebabkan kos makanan dan penjagaan yang turut mengalami perubahan.
“Tidak mustahil harga untuk satu bahagian daging korban nanti mengalami kenaikan tambahan antara RM100 hingga RM150 (satu bahagian) jika cuaca panas sebegini berlarutan memandangkan pelbagai kos perlu diambilkira.
“Jika cuaca panas ini berlarutan, penternak memang berdepan dengan kerugian kerana perlu menanggung pelbagai kos malah harga daging korban juga akan meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




