Lenggong diiktiraf UNESCO Global Geopark, pengumuman rasmi 23 April

Lenggong diiktiraf UNESCO Global Geopark, pengumuman rasmi 23 April

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Lenggong Geopark di Perak bakal mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai antara 12 UNESCO Global Geoparks (UGGp) baharu bagi tahun ini.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pengiktirafan itu dimaklumkan menerusi International Geoscience and Geoparks Programme (IGGP), dengan pengumuman rasmi oleh Lembaga Eksekutif UNESCO dijadualkan pada 23 April ini.

Majlis penyampaian sijil UNESCO Global Geoparks pula akan diadakan pada 27 April 2026 di ibu pejabat UNESCO di Paris.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, berkata pencapaian itu membanggakan dan menjadi titik penting dalam usaha melonjakkan jenama Lenggong ke peringkat antarabangsa.

Katanya, kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Perak, Badan Pengurusan Lenggong Geopark, agensi Persekutuan serta komuniti setempat.

“Pasti pencapaian ini mengukuhkan usaha kita ke arah pemuliharaan alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan bernilai antarabangsa.

“Pengiktirafan yang bakal diperolehi ini juga membuktikan Lenggong memiliki khazanah yang bernilai tinggi bertaraf antarabangsa yang penting dan perlu dipelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lenggong sebelum ini diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021, sekali gus menjadi geopark kedua di Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top