rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Polis Thailand menahan dua lelaki warga Thailand yang disyaki melepaskan tembakan ke arah pos kawalan pasukan keselamatan di sempadan negara di Padang Besar, Perlis.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun terbabit ditahan di Songkhla, Thailand, pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, kejadian melepaskan tembakan berlaku pada 10.28 pagi Khamis lalu ketika dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan berhampiran pos kawalan keselamatan sempadan berkenaan.
“Anggota bertugas terdengar beberapa das tembakan dari arah Thailand dan melihat kelibat dua lelaki menaiki sebuah motosikal di kawasan negara jiran itu.
“Mereka kemudian segera memaklumkan kejadian kepada pasukan untuk bantuan sebelum suspek dilihat beredar.
“Kedua-dua anggota juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Harian Metro.
Susulan insiden itu, Razarudin berkata, sepasukan polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek warga Thailand itu disyaki datang dari arah kebun getah dengan menaiki motosikal.
Beliau berkata, suspek memberhentikan motosikal sebelum mengeluarkan senjata jenis pistol automatik dan melepaskan kira-kira 10 das tembakan ke arah Malaysia.
Katanya, suspek kemudian dilihat mengutip kelongsong peluru sebelum beredar menggunakan laluan sama disyaki ke dalam kebun getah.
Menurut Razarudin, siasatan dijalankan disalurkan kepada Polis Thailand yang kemudian menahan kedua-dua suspek di sebuah premis di Songkhla, pada 10.40 pagi (waktu Malaysia), sehari selepas kejadian.
“Hasil soal siasat, suspek mendakwa meminjam senjata itu daripada seorang rakan.
“Mereka mengaku melepaskan tembakan ke arah Malaysia untuk mencuba senjata berkenaan.
“Senjata itu sudah dipulangkan semula kepada rakan selepas kejadian,” katanya.
Katanya, Polis Thailand kini sedang giat mengesan rakan suspek yang juga pemilik senjata untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




