bhnews@bh.com.my
BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) Johor akan menamakan menteri besar daripada kalangan mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, berkata ketika ini fokus utama pucuk kepimpinan adalah untuk memenangi PRN dan memanfaatkan sehabis baik tempoh berkempen yang berbaki lapan hari lagi.
“PH tidak berbincang lagi calon jawatan menteri besar dalam parti komponen yang ada kerana ada perkara yang lebih penting untuk kita bincangkan iaitu mencapai kemenangan di Johor pada PRN kali ini.
“Bagi letak seseorang sebagai calon pentadbir negeri, ia perlukan perbincangan yang tepat dan keadaan masa yang sesuai. Kita berpendapat tempoh yang sesuai adalah apabila memperoleh kemenangan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Tawaran Tindakan PH Johor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dilaporkan berkata, perkara yang membabitkan siapa calon menteri besar jika PKR dan PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN Johor, 12 Mac ini bukan keutamaan gabungan parti berkenaan.
Beliau berkata, perkara mengenai siapa pemimpin yang akan diangkat sebagai menteri besar juga tidak dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



