Lepas rindu! Dibantu Johan, Ozlynn masak juadah raya untuk anak & kenalan di Dublin

Lepas rindu! Dibantu Johan, Ozlynn masak juadah raya untuk anak & kenalan di Dublin

Sempena bulan Syawal yang masih disambut, pelakon Ozlynn Waty menyediakan pelbagai menu raya untuk dinikmati oleh anak sulungnya Ahmad Ariq Hanania dan beberapa kenalan di Dublin, Ireland.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Ozlynn berkata proses memasak itu dibantu oleh suaminya Johan Raja Lawak serta beberapa kenalan mereka iaitu rakyat Malaysia yang dipercayai menetap di negara berkenaan.

“Keluarga besar saya. Alhamdulillah, dapat masak untuk semua sambil dibantu oleh suami tercinta dan ‘bibik-bibikku’. Hari ni dorang jadi bibik, esok kita pastikan dorang meletop kebabom ok.
“Nampaknya anak-anak i makin bertambah.. siap dah booking kita untuk masak esok,” tulis pelakon berusia 42 tahun itu.

Gambar berbentuk video dimuat naik memaparkan masing-masing sibuk menyediakan juadah masakan yang sinonim dengan sambutan Hari Raya sekali gus dapat melepaskan rindu bagi merasai makanan Malaysia.

Malah, kelihatan juga warga Filipina dan Irish dipercayai rakan seperjuangan anaknya yang menyambung pengajian di sebuah universiti di negara tersebut sejak dua tahun lalu.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikut meluahkan rasa seronok apabila melihat momen rakyat Malaysia berkumpul untuk sama-sama meraikan Hari Raya di negara orang.

Terdahulu, Ozlynn dan Johan terbang ke Dublin membuat kejutan untuk anak mereka dimana masing-masing dilihat sebak selepas sekian lama tidak bertemu.

Sumber: Instagram Jozlynn