Lepas Rindu Terhadap Peminat, Kai Deva Tetap Turun Busking Sekali-Sekala

Lepas Rindu Terhadap Peminat, Kai Deva Tetap Turun Busking Sekali-Sekala

Penyanyi Kai Deva tidak pernah melupakan titik permulaannya sebagai pemuzik jalanan biarpun kini namanya semakin dikenali.

Bergelar naib juara One In A Million (OIAM) yang melabuhkan tirai Februari lalu, Kai masih setia dengan dunia busking dan mengakui sekali-sekala kembali membuat persembahan jalanan bagi melepaskan rindu terhadap minat asalnya biarpun jadualnya semakin sibuk.

“Sekarang saya memang sudah jarang busking, tetapi bila ramai yang cakap rindu nak tengok saya tampil semula di jalanan, saya buat juga, tetapi sangat jarang. Dua bulan ini, saya baru turun sekali.

“Saya tak ambil kisah apa orang nak kata. Ramai juga tanya kenapa saya masih busking selepas OIAM, terutama bila saya buat siaran langsung di media sosial. Setiap kali turun busking, saya akan minta kebenaran label terlebih dahulu dan saya hanya turun kerana melepaskan rindu,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya dia sudah ‘turun standard’ atau kekurangan tawaran kerja kerana masih busking, Kai menafikan perkara tersebut.

“Saya hanya busking bila ada masa lapang, sebulan sekali, kadangkala sekali dalam tempoh dua bulan. Sejujurnya, saya tak rasa diri saya downgrade pun. Saya masuk uji bakat OIAM pun hasil daripada busking.

“Saya tak pernah masuk kelas vokal atau mana-mana studio rakaman sebelum ini,” katanya lagi yang dahulunya merupakan vokalis kumpulan Genji Buskers yang cukup dikenali dengan persembahan jalanan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebelum memasuki OIAM.

Dalam perkembangan terbaharu, Kai kini sedang mempromosikan lagu terbaharu berjudul Benar Indah.

Lagu ciptaan Firdaus Rahmat itu merupakan lagu tema bagi drama vertikal bersiri Separuh Nafas Cinta yang bersiaran di akaun TikTok Drama Sangat.

Scroll to Top