Letupan besar di khemah Gaza akibat serangan Israel

Letupan besar di khemah Gaza akibat serangan Israel

BANDAR GAZA: Seorang lelaki Palestin maut manakala tujuh lagi cedera dalam satu letupan besar selepas serangan udara Israel menyasarkan kem perlindungan di Gaza.

Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan dua peluru berpandu meletup di khemah menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan di bandar Deir al-Balah, di tengah Gaza petang kelmarin.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Abdulrahman Qanbour, 22, menurut agensi berita Wafa yang berpusat di Tebing Barat.

Jet-jet pejuang Israel menyerang kem Al-Sitt, yang terletak di selatan Deir al-Balah dan beroperasi sebagai perkhidmatan penyelamat di bawah Hamas, menurut agensi pertahanan awam.

Perjanjian gencatan senjata sepatutnya berkuat kuasa antara Israel dan Gaza sejak 10 Oktober tahun lalu, selepas Hamas dan Israel bersetuju dengan perjanjian yang dimediasi oleh Amerika Syarikat (AS).

Hospital Syahid Al-Aqsa di Gaza mengesahkan jumlah kematian dan kecederaan, manakala tentera Israel mendakwa ia menyiasat laporan berkenaan.

Suhaila Khalil, 57, yang tinggal di khemah kawasan itu, berkata dia terdengar jeritan ketika serangan tersebut membedil kem perlindungan berkenaan.

“Letupan berlaku beberapa ratus meter dari khemah kami, tetapi asap dan serpihan jatuh ke atas penduduk yang dipindahkan, menyebabkan beberapa orang cedera,” katanya.

Video menunjukkan dua peluru berpandu membedil kem itu hanya selang beberapa saat.

Peluru berpandu pertama menghentam tanah tetapi tidak meletup, sebelum dua saat kemudian peluru berpandu kedua meletup berhampiran yang pertama sehingga menghasilkan bebola api dahsyat.

Gelombang letupan melontarkan serpihan sehingga beberapa puluh meter ke udara, diiringi asap hitam tebal kira-kira 50 meter ke udara.

Jeritan dan teriakan kedengaran apabila penduduk kem berpaling dan berlari menyelamatkan diri.

Gambar selepas itu menunjukkan rakyat Palestin memeriksa kawah besar yang ditinggalkan oleh letupan tersebut.

Ribuan penduduk Gaza tinggal di khemah sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan Israel melanggar perjanjian gencatan senjata, dengan sekurang-kurangnya 689 rakyat Palestin terbunuh sejak  ia berkuat kuasa.- AGENSI

 

Scroll to Top