Dhaka: Letupan bom dan insiden pergaduhan meragut tiga nyawa di Bangladesh pada Jumaat dan Sabtu susulan pilihan raya parlimen negara itu pada Khamis, menurut polis, lapor Xinhua.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam satu letupan yang berlaku awal pagi Sabtu di daerah Chapainawabganj, kira-kira 302 kilometer (km) barat laut ibu negara Dhaka.
Pegawai polis tempatan Md Nure Alam, memberitahu wartawan yang letupan berlaku kira-kira 5 pagi waktu tempatan ketika bom buatan sendiri, yang dikenali penduduk tempatan sebagai “cocktail”, sedang dihasilkan di sebuah rumah di kampung berkenaan.
Letupan itu menyebabkan dinding bata rumah berkenaan runtuh dan bumbung zinknya tercabut, katanya, sambil menjelaskan yang pihak berkuasa sedang mengenal pasti mangsa yang maut dan cedera.
Dalam satu lagi insiden keganasan pascapilihan raya, seorang lelaki muda terbunuh di daerah Munshiganj, kira-kira 30km dari Dhaka, pada Jumaat malam.
Mangsa maut akibat kecederaan yang dialami dalam pertembungan antara puak saingan Parti Nasionalis Bangladesh susulan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum, menurut Ketua Polis Daerah Munshiganj, Md Menhajul Alam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




