Tehran: Satu letupan dilaporkan berlaku pada Sabtu di sebuah bangunan kediaman di bandar selatan Iran, Bandar Abbas di pantai Teluk adalah berpunca daripada kebocoran gas, menurut ketua bomba tempatan.
Televisyen kerajaan melaporkan letupan itu meranapkan bangunan kediaman lapan tingkat, “memusnahkan dua tingkat, beberapa kenderaan dan kedai” di kawasan Boulevard Moallem.
“Punca awal kemalangan ini adalah kebocoran dan pengumpulan gas yang membawa kepada letupan. Ini adalah teori awal,” kata Mohammad Amin Lyaghat dalam kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan.
Beberapa insiden berasingan dilaporkan di lokasi lain di negara itu pada hari sama, namun saluran media dengan pantas menafikan sebarang kaitan dengan serangan atau kemungkinan sabotaj ketika ketegangan meningkat berikutan ancaman tentera oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Iran.
“Malangnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terkorban”, manakala 14 orang lain dimasukkan ke hospital, kata Pengarah Pengurusan Krisis Wilayah Hormozgan, Mehrdad Hassanzadeh kepada agensi berita Mehr.
Imej yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian fasad bangunan hancur akibat letupan itu.
Insiden itu berlaku ketika AS meningkatkan kehadiran tentera lautnya di rantau berkenaan termasuk kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln.
Susulan khabar angin yang tersebar dalam talian, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menafikan bahawa mana-mana bangunan milik tentera lautnya di wilayah berkenaan menjadi sasaran, menurut kenyataan yang dipetik agensi berita Fars.
Agensi Tasnim pada Sabtu turut menafikan khabar angin mengenai pembunuhan yang kononnya membabitkan komander tentera laut Pengawal Revolusi, Alireza Tangsiri.
Secara berasingan, di wilayah Khuzestan, empat orang terbunuh dalam satu letupan gas yang berlaku pada hari sama di kawasan kejiranan Kianshahr di bandar Ahvaz.
Di Parand, pinggir ibu kota Tehran, asap dikesan di kawasan itu, namun dilaporkan “tidak berkaitan dengan insiden keselamatan dan berpunca daripada kebakaran kecil di kawasan lalang,” lapor televisyen kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




