Letupan di Ipoh: Polis adakan mesyuarat khas dengan agensi berkaitan Selasa

Letupan di Ipoh: Polis adakan mesyuarat khas dengan agensi berkaitan Selasa

Ipoh: Polis akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama 20 agensi terdiri daripada sektor awam dan swasta bagi membincangkan punca letupan dan gegaran yang berlaku di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata setiap agensi berkenaan perlu mengemukakan laporan masing-masing berhubung kejadian terbabit pada mesyuarat yang dijadual diadakan Selasa ini.

“Buat masa ini kejadian ini masih lagi misteri dan saya sudah arahkan timbalan ketua polis (Perak) untuk panggil semua agensi ini bagi tujuan perbincangan.

“Kita mahu pengesahan mengenai perkara ini dan sebagai pihak yang mengawal ketenteraman dan keselamatan, maka saya ambil tanggungjawab ini untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir kerana pada masa ini keselamatan mereka terjamin.

Isnin lalu, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput, kira-kira 11.06 pagi.

Gegaran dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top