Letupan di pelabuhan Iran bukan disebabkan anasir luar

Letupan di pelabuhan Iran bukan disebabkan anasir luar

Tehran: Letupan besar di Pelabuhan Shahid Rajaee, Bandar Abbas, Iran pada Sabtu dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan secara cuai dalam kontena, kata pegawai pengurusan krisis Iran.

Jurucakap agensi berkenaan, Hossein Zafari berkata, pihaknya sudah beberapa kali memberi amaran kepada pihak pelabuhan mengenai risiko penyimpanan bahan berbahaya di kawasan itu.

“Letupan ini disebabkan bahan kimia dalam kontena yang disimpan secara tidak teratur. Sebelum ini, Ketua Pengurusan Krisis sudah memberi peringatan mengenai bahaya berkenaan semasa lawatan mereka,” katanya kepada agensi berita ILNA.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Iran menegaskan bahawa walaupun bahan kimia dipercayai menjadi punca, pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan sebab sebenar insiden berkenaan.

Sementara itu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan dan menghantar Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni ke lokasi kejadian bagi memantau operasi menyelamat dan kawalan kebakaran.

Rakaman disiarkan media rasmi menunjukkan kepulan asap tebal berwarna hitam dan jingga menjulang di pelabuhan, dengan bangunan pejabat berhampiran kelihatan rosak teruk, pintu tercabut, dan serpihan bertaburan.

Letupan itu, yang menggegarkan kawasan dalam radius beberapa kilometer, turut kedengaran sehingga ke Pulau Qeshm yang terletak 26 kilometer dari lokasi.

Menurut pegawai tempatan, kebakaran tercetus selepas beberapa kontena meletup, dipercayai mengandungi bahan mudah terbakar dan kimia berbahaya. Aktiviti di pelabuhan itu dihentikan serta-merta selepas kejadian.

Walaupun serangan siber dan sabotaj pernah dikaitkan dengan musuh tradisi Iran sebelum ini, termasuk Israel, setakat ini tiada sebarang bukti yang mengaitkan pihak luar dalam kejadian kali ini.

Pihak berkuasa turut mengesahkan kemudahan minyak dan loji penapisan di sekitar kawasan itu tidak terjejas akibat letupan.

Setakat ini, angka korban kekal seramai 14 mangsa dengan lebih 700 orang lagi dilaporkan cedera, menurut laporan media Iran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top