Letupan IED di Nilai tiada kaitan elemen ekstremis

Letupan IED di Nilai tiada kaitan elemen ekstremis

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Insiden peranti letupan buatan sendiri (IED) di kawasan parkir Desa Palma, Nilai, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu tiada kaitan dengan elemen ekstremis atau mana-mana kumpulan pengganas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan mendapati kejadian itu berkemungkinan bersifat terpencil dan tidak membabitkan rangkaian jenayah terancang.

“Siasatan awal kita tidak mengenal pasti sebarang unsur ekstremis atau kaitan dengan mana-mana kumpulan atau organisasi.

“Kes ini berkemungkinan kejadian terpencil, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, fokus siasatan kini terarah kepada motif pemilikan bahan letupan itu, sasaran sebenar suspek serta kemungkinan wujudnya pembabitan pihak lain.

Beliau turut mengesahkan bahan yang dirampas di lokasi kejadian mempunyai unsur letupan.

“Kita masih menyiasat latar belakang suspek. Usaha merakam percakapan sedang diusahakan memandangkan suspek kini masih menerima rawatan di hospital.

“Kita perlu menunggu laporan perubatan untuk menentukan tahap keupayaan suspek bagi memberi keterangan,” katanya memaklumkan lelaki itu kini direman sehingga 3 Januari depan.

Kumar turut meminta orang ramai memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi pramatang yang boleh mengganggu proses keadilan.

Harian Metro hari ini melaporkan suspek berusia 62 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai, kelmarin.

Lelaki itu dikatakan bersembunyi di hutan sejak kejadian letupan sebelum ditemui orang awam yang sedang mencari hasil hutan.

Penahanan suspek turut membawa kepada penemuan sebuah motosikal serta beberapa lagi peranti IED bersamanya.

Dalam kejadian 22 Disember lalu, satu letupan berlaku di dalam sebuah kereta ketika suspek dipercayai sedang mengalihkan peranti berkenaan sebelum dia melarikan diri.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top