'Letupan kuat, cahaya terang itu berlaku di udara, betul-betul di atas bot disasarkan'

'Letupan kuat, cahaya terang itu berlaku di udara, betul-betul di atas bot disasarkan'

KAMI percaya serangan bom kilat yang dilancarkan daripada dron yang berlaku tengah malam tadi (23 September 2025) adalah amaran awal dari Israel dan akan ada lagi serangan lain selepas ini.

Pastinya serangan ke atas sembilan bot Global Sumud Flotila (GSF) itu bertujuan menakut-nakutkan kami dan berharap misi kemanusiaan ke Gaza ini terhenti setakat ini.

Seperti yang pernah saya nyatakan dalam penulisan sebelum ini, kami diperingatkan untuk bersedia menghadapi kejadian tidak diingini apabila memasuki kawasan berhampiran Greece. Nyata, jangkaan itu tepat.

Serangan bermula kira-kira jam 11.40 malam ketika semua hampir 40 bot belayar secara berkumpulan di perairan antarabangsa Laut Mediterranean berhampiran dengan perairan Greece.

Ketika itu saya hampir menamatkan tugas pengawasan dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam di atas dek bot Fair Lady.

Sejurus membaca notis dan mesej mengenai serangan pertama saya terus memaklumkan kepada kapten bot.

Beliau kemudian mengarahkan saya mengejut rakan-rakan lain yang tidur dan kami segera berada dalam situasi standby lengkap dengan jaket keselamatan dan lampu di kepala.

Menurut maklumat dibekalkan oleh pengurusan pasukan Sumud Nusantara, serangan malam tadi dipercayai menggunakan stun grenade atau bom kilat.

Ia peranti yang biasanya digunakan oleh pasukan keselamatan. Ia menghasilkan bunyi yang sangat kuat (melebihi 170 desibel) dan kilatan cahaya terang yang menyebabkan penglihatan terganggu.

Dalam serangan ke atas kami, letupan kuat dan cahaya terang itu berlaku di udara, betul-betul di atas bot yang disasarkan.

Alhamdulilah, tiada kecederaan dilaporkan, namun ada bot yang mengalami kerosakan pada layar iaitu bot Taigete.

Sembilan bot yang diserang bom kilat ialah Ohwayla, Yulara, Otaria, Maria Cristina, Selvaggia, Morgana, Zefiro, Taigete dan Luna Bark.

Tiga daripada bot itu membawa sukarelawan Sumud Nusantara iaitu Zainal Rashid Ahmad, anaknya, Ilham Fansuri dan Ustaz Muhamad Abdullah atau Mad Kecik di atas Luna Bark.

Nik Aziz dan Norazman Ishak di dalam Taigete manakala sukarelawan dari Brunei Rezamaisalamah di dalam Selvaggia.

Bot Alma yang dinaiki seorang lagi daripada 34 sukarelawan Malaysia, Sul Aidil pula digodam frekuensi VHF menyebabkan gangguan kepada sistem komunikasi.

Ketika catatan ini ditulis pada jam 9 pagi 24 September 2025, Alhamdulilah kami kembali meneruskan pelayaran seperti biasa.

Namun, di dalam hati masing-masing kini menyedari setiap malam yang mendatang tidak setenang sebelum

ini. Besar kemungkinan akan ada lagi gangguan atau serangan dari Israel laknatullah.

Apapun, kami tetap SUMUD. Allah SWT sebaik-baik pelindung.


Penulis adalah Pengarah Media Muslim Care Malaysia yang kini dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza bersama bot Fair Lady

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top