Lewat lapor kereta terbakar, rupanya curi kelapa sawit

Lewat lapor kereta terbakar, rupanya curi kelapa sawit

am@hmetro.com.my

Jasin: Tindakan sepasang suami isteri lewat membuat laporan berhubung kejadian kereta dinaiki terbabas dan hangus terbakar membongkar rahsia berhubung kecurian 30 tandan kelapa sawit di sebuah ladang di Merlimau, di sini, minggu lalu.

Pasangan berusia 26 dan 25 tahun yang nyaris rentung bersama kereta itu ditangkap di perkarangan Balai Polis Merlimau pada jam 11.15 malam kelmarin.

Selepas mereka hadir membuat laporan dipercayai bagi menuntut pampasan insurans, iaitu selepas empat hari kejadian berlaku

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, pihaknya menerima laporan dibuat anggota polis bantuan ladang berkenaan berhubung kehilangan 30 tandan kelapa sawit di satu lot pada 3 Oktober lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku di ladang milik syarikat Sd Guthrie yang tidak berpagar di kawasan sekeliling dan terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama Jasin ke Merlimau serta boleh diakses melalui Jalan Kampung Bukit Kepok.

“Siasatan mendapati, ladang berkeluasan 4,500 hektar dan di lot berkenaan terdapat 5,000 pokok kelapa sawit yang sudah matang dengan tinggi kira-kira 10 kaki (3.04 meter) setiap pokok.

“Ketika memeriksa, pengadu mengesan 21 pokok kelapa sawit dan anggaran 30 tandan kelapa sawit dianggarkan bernilai RM500 sudah disabit.

“Sedangkan ketika diperiksa kali terakhir pada 30 September lalu tandannya masih dalam keadaan baik dan hanya ada kesan potongan tandan lama sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jamil berkata, pihaknya turut merampas sabit berhulu besi sepanjang 3.7 meter dan siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai lima rekod jenayah dan satu kes narkotik manakala pasangannya terbabit dua kes jenayah dan narkotik.

“Suspek lelaki ditahan reman empat hari hingga 11 Oktober, manakala suspek wanita ditahan tiga hari hingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau berkata, kereta berkenaan terbakar berhampiran lokasi kejadian selepas dipercaya terbabas akibat membawa lebih muatan kelapa sawit itu yang dipercayai dicuri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top