LGM rampas 35,400 kg lateks cuba disedut curi

LGM rampas 35,400 kg lateks cuba disedut curi

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Getah Malaysia (LGM) mematahkan kegiatan mencuri 35,400 kilogram (kg) susu getah yang cuba disedut curi di sebuah premis di Kamunting, Perak kelmarin.

Difahamkan, kegiatan itu dijalankan pemandu lori tangki bagi mendapatkan pendapatan tambahan dengan cara menjual muatan susu getah secara haram kepada pihak ketiga pada harga lebih rendah.

LGM dalam kenyataan berkata, aktiviti itu melanggar Peraturan-Peraturan LGM 2014, yang mana pesalah boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Hasil daripada operasi ini susu getah berjumlah 29,100 kg dalam sebuah lori tangki dan 6,300 kg dalam tangki pukal dirampas berserta barangan lain dengan nilai dianggarkan berjumlah RM235,900.

“Serbuan dijalankan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

LGM berkata, pihaknya akan terus bekerja sama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dan komited membanteras aktiviti sedut curi lateks.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top