am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hari ini, mengadakan sesi libat urus bersama pempengaruh media sosial bagi menjelaskan mengenai layanan cukai terhadap pendapatan yang dijana golongan itu.
Sesi yang diadakan di Menara HASiL, Cyberjaya itu dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Hisham Rusli dan pempengaruh media sosial daripada pelbagai latar belakang.
Antaranya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; pelakon dan penyanyi, Bella Astillah serta Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Spacedollah.
Selain itu, Wee Yun Nee atau Mek Yun dan Ryzal Ibrahim yang dikenali melalui di platform media sosial dengan menggunakan nama Durian Kimchi.
LHDN dalam kenyataan memaklumkan, antara sumber pendapatan pempengaruh media sosial yang dikenakan cukai adalah bayaran daripada platform digital, penajaan produk, jualan jenama sendiri dan royalti penggunaan kandungan, yang semuanya tertakluk di bawah Perenggan 4(a), Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Ledakan ekonomi digital yang semakin pesat menuntut kefahaman jelas mengenai tanggungjawab percukaian.
“Sesi libat urus ini bukan saja menerangkan kewajipan cukai secara lebih jelas dan tersusun, malah memberi ruang kepada LHDN untuk mendengar secara langsung pandangan, cabaran serta realiti semasa yang dihadapi dalam landskap penciptaan kandungan digital yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Hisham, berkata pendekatan dialog secara langsung itu mencerminkan komitmen LHDN untuk memastikan pemain industri digital faham dan patuh terhadap kewajipan cukai mereka.
“Pempengaruh media sosial kini menjadi sebahagian penting daripada ekosistem ekonomi negara dan semua pendapatan yang dijana adalah tertakluk kepada peraturan cukai yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada sesi berkenaan.
Sebagai langkah sokongan, LHDN menerbitkan Garis Panduan Layanan Cukai Ke atas Pendapatan Pempengaruh Media Sosial pada 14 Januari lalu, yang boleh diakses melalui portal rasmi LHDN.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh disalurkan menerusi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
© New Straits Times Press (M) Bhd




