lokman.khairi@hmetro.com.my
Cyberjaya: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengesan seramai 5,800 pembayar cukai gagal mengemukakan borang cukai membabitkan pendapatan tidak dilaporkan berjumlah RM484 juta, setakat Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, ketidakpatuhan cukai itu dikesan membabitkan pelbagai pihak termasuk peniaga dalam talian, pembeli kenderaan mewah, penerima komisen dan kumpulan lain yang sebelum ini sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
Sebagai langkah tegas, katanya, individu yang menerima pendapatan selain daripada gaji atau perniagaan seperti sewa, elaun pengarah atau pendapatan tidak tetap akan mula menerima notis ansuran CP500, selaras dengan pendapatan sebenar mereka.
“Bukan itu sahaja, LHDN juga akan mengeluarkan DG Direct CP205 kepada syarikat yang cuba membuat pindaan anggaran cukai lebih rendah, sedangkan syarikat menunjukkan prestasi perniagaan yang memberangsangkan.
“Ini adalah langkah strategik untuk memastikan keadilan dan mengekang ketidakpatuhan licik secara berstrategi.
“Dengan data e-Invois yang lebih menyeluruh, LHDN kini mempunyai keupayaan meningkat untuk membuat profil risiko dan pengesanan bersasar,” katanya pada Sesi Libat Urus LHDN bersama Dewan/ Persatuan Perdagangan Malaysia di Ibu Pejabat LHDN di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan e-Invois fasa ketiga ketika ini, beliau berkata, perniagaan yang mempunyai perolehan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta menyertai pelaksanaan sistem transformasi pentadbiran percukaian digital itu.
Beliau memaklumkan, sebanyak 493 juta e-Invois dikeluarkan secara keseluruhan setakat semalam, membabitkan penyertaan 100,000 pembayar cukai dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang pelaksanaan fasa keempat dan kelima masing-masing dijadualkan 1 Januari dan 1 Julai tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, Dr Abu Tariq berkata, LHDN akan melaksanakan Global Minimum Tax (GMT) bagi membendung ‘tax base erosion’ dan pengalihan keuntungan (profit shifting).
“GMT akan berkuat kuasa ke atas kumpulan syarikat multinasional (MNE) bagi tahun kewangan bermula pada atau selepas 1 Januari 2025.
“Pelaporan pertama dijangka pada 30 Jun 2027 membabitkan syarikat besar yang mempunyai pendapatan 750 juta Euro (kira-kira RM3.7 bilion) dengan kadar GMT sekarang adalah 15 peratus,” katanya.
Malaysia adalah antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melakukan reformasi sistem percukaian antarabangsa itu.
Pelaksanaan sistem cukai itu adalah untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




