Liam Payne ambil kokain, alkohol, ubat antikemurungan sebelum ditemukan mati

Buenoe Aires: Bintang One Direction, Liam Payne dipercayai mengambil kokain, alkohol dan ubat antikemurungan sebelum ditemukan mati di sebuah hotel di Buenos Aires, bulan lalu, kata pendakwa raya Argentina pada Khamis.

Pejabat pendakwa raya menambah bahawa tiga individu didakwa membekalkan dadah kepada Payne, dan seorang daripada mereka juga didakwa kerana ‘meninggalkan seseorang dalam keadaan terdedah’.

“Hasil kajian toksikologi yang dimaklumkan kepada keluarganya mendedahkan bahawa, pada saat sebelum kematiannya dan dalam tempoh yang meliputi sekurang-kurangnya 72 jam terakhirnya, Payne mempunyai kesan penggunaan alkohol, kokain dan ubat antikemurungan di dalam badannya,” kata pendakwa raya.

Payne ditemukan mati pada 16 Oktober, selepas terjun dari balkoni biliknya di tingkat tiga di Hotel CasaSur di ibu negara Argentina.

Bedah siasat mendapati lelaki itu meninggal dunia selepas mengalami ‘pelbagai trauma’ dan pendarahan dalaman dan luaran akibat jatuh.

Pihak pendakwaan berkata, siasatan sudah mendedahkan kelakuan yang menyalahi undang-undang yang menyebabkan pertuduhan dihadapkan ke atas tiga orang, yang tidak disebutkan namanya.

Ia berkata, salah seorang daripada tiga individu itu menemaninya setiap hari semasa tinggal di Buenos Aires, dan dia didakwa meninggalkan seseorang yang kemudiannya meninggal dunia, serta membekalkannya dengan narkotik.

Suspek kedua ialah seorang pekerja hotel yang dituduh dua kali membekalkan Payne dengan kokain semasa dia menginap di Hotel CasaSur. Orang ketiga juga dituduh membekalkannya dengan dadah itu pada 14 Oktober, dua hari sebelum kematiannya.

Pihak pendakwaan menolak kecederaan diri dan campur tangan fizikal pihak ketiga sebagai punca kematian Payne, sebaliknya mengatakan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah sepadan dengan kecederaan yang disebabkan oleh jatuh dari ketinggian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top