Liek Hou bekerjasama dengan Yakeb salur sedekah

Liek Hou bekerjasama dengan Yakeb salur sedekah

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun bergelar jutawan, pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou masih mempunyai sifat terpuji dan memahami kesusahan dihadapi bekas atlet negara dalam meneruskan kehidupan harian.

Ia membuatkan Liek Hou terdetik untuk berkongsi sebahagian daripada insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) RM1 juta yang diterimanya kelmarin dengan membantu bekas atlet yang memerlukan.

“Saya pun pernah bercakap ingin membantu atlet yang berada dalam keadaan susah sebelum ini. Saya akan mencari mereka dengan bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Shakam kelmarin.

Ujar Liek Hou, dia akan membantu bekas atlet dalam kesusahan dan masih belum pasti berapa orang atlet yang bakal menerima bantuan.

“Tak pasti (jumlah atlet) kena kira dulu berapa ramai yang saya boleh tolong. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menolong mereka. Memang saya gembira dengan insentif yang diterima tetapi saya mahu keluarkan sedikit sebagai sedekah.

“Saya sudah menerima insentif ini dan akan membuat perancangan bersama pasukan saya mengenai sedekah ini,” katanya yang mempertahankan emas para badminton SU5 di Paralimpik Paris.

Dalam masa sama, Liek Hou juga mempunyai perancangan di masa depan untuk membantu skuad para badminton negara.

“Saya akan duduk bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membantu meningkatan skuad para badminton. Ia lebih kepada pembangunan membabitkan di seluruh Malaysia.

“Saya mahu mencari bakat dan berkongsi pengalaman bukan hanya di sekitar Lembah Klang tetapi juga di setiap negeri. Itu perancangan masa depan saya,” katanya.

Liek Hou yang sebelum ini pernah meraih RM1 juta ketika Paralimpik Tokyo 2020, turut melakukan perkara sama ketika memperoleh Shakam apabila membelanjakannya untuk tujuan komuniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top